Home » Akidah dan Fiqih » Bertabarruk dengan kubur Rasulullah s.a.w

Bertabarruk dengan kubur Rasulullah s.a.w

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEPERTI yang telah kita bincangkan minggu lepas, terdapat banyak riwayat daripada Salafus Soleh yang merakamkan bahawa mereka menerima dan beramal dengan bertabarruk dengan kesan-kesan atau bekas peninggalan Nabi SAW dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah. Pandangan ini turut dipegang oleh Ibnu Taimiyyah dan Imam Al-Zahabi seperti yang kita petik di bawah. Mereka ini merupakan di antara rujukan pilihan bagi kelompok yang cenderung anti-tabarruk pada zaman ini.

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Abdullah ibn Umar SAW pernah dilihat meletakkan tangannya di atas tempat duduk Rasulullah SAW di mimbarnya. Kemudian dia meletakkan tangannya itu di mukanya.” Diriwayatkan daripada Ibnu Qusait dan al-’Utbi: “Apabila masjid telah kosong, para sahabat Nabi SAW mengusap tombol mimbar yang terletak berhampiran kubur Nabi SAW dengan tangan kanan, kemudian mereka menghadap kiblat seraya memanjatkan doa. “Berkata al-Mulla Ali al-Qari, pensyarah kitab al-Syifa: Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad. (Al-Shifa’, 3:518)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Syeikh Ibnu Taimiyyah daripada Imam Ahmad. Beliau memberi rukhsah mengenai mengusap mimbar dan tombol kayu tersebut dan menyebut bahawa Ibnu Umar, Sa’id ibn al Musayyib, dan Yahya ibn Sa’id RA dari kalangan fuqaha Madinah, melakukan perkara tersebut. (Ibnu Taimiyyah, Iqtido’ Sirot al-Mustaqim, H: 367)

Ketika Amir al-Mukminin, Umar ibn al-Khattab RA hampir wafat, beliau berkata kepada anaknya, Abdullah RA, Pergilah kamu kepada Ummul Mukminin, Sayyidah ‘Aisyah RA dan katakanlah, “Umar menyampaikan salam kepadamu.” Jangan kamu katakan Amir al-Mukminin, kerana hari ini aku bukan lagi ketua kaum Mukminin. Katakan juga kepadanya, bahawa, “Umar ibn Khattab meminta izin untuk dikebumikan bersama (berdekatan) kedua orang sahabatnya (Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA).”

Maka Abdullah RA pun memberikan salam dan meminta izin untuk masuk. Lalu dia pun masuk dan mendapati Sayyidah Aisyah RA sedang duduk menangis. Abdullah RA berkata, “Umar menyampaikan salam kepadamu dan meminta izin untuk dikebumikan berhampiran kedua orang sahabatnya.” ‘Aisyah berkata, “Sebenarnya aku menginginkan tempat itu untuk diriku. Tetapi hari ini, aku akan mendahulukan dia (Umar RA) daripada diriku.”

Setelah kembali, maka dikatakan, “Ini Abdullah ibn Umar RA telah kembali.” Umar ibn Khattab RA berkata (kepada para sahabat), “Angkatlah aku.” Lalu beliau disandarkan oleh salah seorang sahabatnya kepada Abdullah RA. Umar RA berkata, “Apakah berita yang kamu bawa?” Dia berkata, “Berita yang kamu suka, wahai Amir al-Mukminin! Kamu telah diizinkan.” Umar RA berkata, “Alhamdulilah, tidak ada sesuatu yang lebih penting bagiku selain daripada itu. Sekiranya aku telah wafat, bawalah aku dan ucapkanlah salam kepada ‘Aisyah, dan katakanlah, “Umar meminta izin.” Jika dia mengizinkan aku, maka masukkanlah aku. Tetapi jika dia menolakku, kembalikanlah aku ke perkuburan kaum Muslimin. (riwayat Bukhari dalam kitab Janaiz)

Pandangan Imam Al-Zahabi

Berkata al Imam Syamsuddin Muhammad ibn Ahmad al-Zahabi: Telah mengkhabarkan kepada kami Ahmad ibn Abdul Mun’im lebih daripada sekali, telah menyampaikan kepada kami Abu Ja’far al-Soidalani secara bertulis, telah menyampaikan kepada kami Abu Ali al-Haddad secara berdepan, telah menyampaikan kepada kami Abu Nu’aim al-Hafiz, telah menyampaikan kepada kami Abdullah ibn Ja’far, telah menyampaikan kepada kami Muhammad ibn ‘Asim, telah menyampaikan kepada kami Abu Usamah, daripada Ubaidillah, daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar RA, “Sesungguhnya dia membenci perbuatan mengusap kubur Nabi SAW.” Saya berpendapat: Ibnu Umar RA membenci perbuatan tersebut kerana melihat ketiadaan adab dan ketidaksopanan orang yang berkunjung ke kubur Nabi SAW.

Imam Ahmad RA pernah ditanya tentang hukum mengusap kubur Nabi SAW dan mengucupnya. Maka dia tidak berpendapat, perbuatan tersebut adalah salah. Telah meriwayatkan daripadanya anaknya, Abdullah ibn Ahmad.

Justeru, sekiranya ditimbulkan persoalan: Kenapa sahabat tidak melakukan perbuatan tersebut? Maka dijawab: Kerana mereka dapat melihat dan bertemu dengan Rasulullah SAW dengan mata kepala mereka sendiri semasa Baginda SAW masih hidup. Mereka bergaul dengannya dan mencium tangannya. Nyaris-nyaris mereka berbunuh-bunuhan untuk mendapatkan air wuduknya.

Mereka mengagih-agihkan rambutnya yang suci pada musim haji yang agung. Apabila Baginda SAW berludah, belum pun sempat ludahnya jatuh ke tanah, ia telah disambut oleh tangan seorang sahabat, lalu dia menyapu mukanya dengan air ludah tersebut.

Adapun kami, disebabkan kami tidak berpeluang mendapat tuah atau keuntungan yang begitu sempurna dan indah, maka kami lebih sepatutnya mengunjungi kuburnya dengan penuh iltizam, penghormatan, penyerahan dan mengucupnya. Adakah kamu tidak melihat, bagaimana Thabit al-Bunani telah melakukannya? Beliau telah mengucup tangan Anas ibn Malik RA dan meletakkan tangannya ke mukanya sambil berkata, “Ini adalah tangan yang pernah menyentuh tangan Rasulullah SAW.” Perbuatan sebegini tidak akan digerakkan oleh seorang Muslim kecuali kerana lonjakan kasih yang bersangatan terhadap Rasulullah SAW.

Bahkan, sememangnya seorang Muslim itu disuruh mengasihi Allah dan Rasul SAW melebihi kasihnya terhadap dirinya, anak-anaknya, manusia seluruhnya, harta benda, syurga dan bidadarinya. Bahkan, terdapat sebahagian daripada kaum Mukminin itu mengasihi Abu Bakar RA dan Umar RA melebihi daripada kasih terhadap diri mereka sendiri.

Diceritakan kepada kami, bahawa ketika Jundar berada di bukit al-Biqa’, dia mendengar seseorang mencaci Abu Bakar RA. Lalu dia menghunus pedangnya dan memenggal kepala orang tersebut.

Tetapi jika dia mendengar orang mencaci dirinya atau bapanya belum tentu dia akan menghalalkan darah orang tersebut. Lihatlah, seorang sahabat yang berada dalam kecintaan yang begitu mendalam terhadap Nabi SAW berkata, “Bolehkah kami sujud kepadamu?” Maka Baginda SAW bersabda, “Tidak boleh.”

Sekiranya mereka diizinkan, sudah pasti mereka akan sujud kepadanya kerana membesarkan dan memuliakan Baginda SAW, bukan kerana menyembah atau beribadat kepadanya sebagaimana sujud saudara-saudara Nabi Yusuf AS kepadanya. Begitu jugalah dengan perbuatan, sujud seorang Muslim kepada kubur Nabi SAW kerana membesarkan dan memuliakan Baginda SAW. Ia tidak dikira kufur pada asalnya, tetapi dikira berdosa melakukannya. Justeru, ketahuilah bahawa ini adalah perkara yang dilarang, begitu juga dengan melakukan solat menghadap kubur. (Al-Zahabi, Mu’jam Al-Syuyukh, 1:73-74)

sumber: http://pondokhabib.wordpress.com/2012/01/11/bertabarruk-dengan-kubur-rasulullah-s-a-w/

About bamah

BAMAH Barisan Muda Arrabithah Alawiyyah, suatu ikatan keluarga besar Alawiyyin di Cirebon Sewilayah III.

Check Also

Risalah Amman Fatwa Konferensi Ulama Islam Internasional plus download pdf

RISALAH ‘AMMAN KONFERENSI PERSATUAN ULAMA’ ISLAM INTERNASIONAL   Konferensi ini diadakan di Amman, Mamlakah Arabiyyah …

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.